You are here: Home

Kelantan Kecundang di Gelanggang Sendiri.

E-mail Print PDF

Skuad Presiden Kelantan bagaikan hilang punca selepas ditundukkan pendahulu liga, Sekolah Sukan Bukit Jalil 'A' di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, petang tadi.

 

 

Walaupun mendahului lawan 2-1 pada separuh masa pertama namun kealpaan barisan pertahanan menghukum Sang Kijang untuk dikecewakan lawan di arena sendiri.

Kelantan dihukum seawal minit ke-9 setelah pemain penyerang SSBJ mengambil kesempatan atas sepakan percuma yang diberikan untuk menanduk masuk menewaskan Judtanna Eh Put.

Namun gol SSBJ tidak bertahan lama setelah Kelantan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-13 apabila Mohd Farhan Yaacob dijatuhkan pertahanan pelawat. Aris Zaidi yang mengambil sepakan tersebut tenang menyudahkan kedalam gawang untuk gol penyamaan Sang Kijang.

Pada minit ke-17, SSBJ nyaris menjaringkan gol selepas pertahanan Kelantan lambat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya namun percubaan pemain SSBJ sempat ditepis keluar Judtanna melegakan pihak pengurusan Kelantan.

Judtanna sekali lagi menjadi penyelamat Kelantan apabila menampan percubaan situasi satu lawan satu dengan penyerang SSBJ, Mohd Farizuan pada minit ke-35.

Walaupun kerap diasak, Kelantan akhirnya berjaya menambah gol kedua setelah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhd Akram Mahinan menjatuhkan Farhan Yaacob didalam kotak pada minit ke-41 dan sepakan tersebut mudah disempurnakan Mohd Aris Zaidi.

Bersambung babak kedua, SSBJ mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi kebanyakan percubaan mereka berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Judtanna.

Akhirnya SSBJ berjaya menjaringkan gol apabila Mohd Fairizuan memanfaatkan kesilapan Faiz Suhaimi yang tergelincir sebelum menewaskan Judtanna pada minit ke-55.

Gol tersebut menyemarakkan semangat pemain SSBJ untuk menambah gol dan mereka sekali lagi mengancam apabila Mohd Syamim Alif bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan sepakan kencang namun Judtanna lebih bersedia untuk merebahkan badan sebelum bola dikeluarkan pemain pertahanan Kelantan minit ke-65.

Tertekan diasak, Zahasmi Ismail mengarahkan anak buahnya mengubah corak permainan dan ianya seakan membuahkan hasil apabila Zamri Ramli dapat melakukan percubaan ke gawang SSBJ pada minit ke-67 namun sedikit tersasar.

Aris Zaidi pula sekadar menyaksikan percubaannya ditumbuk keluar penjaga gol SSBJ dan tindakan susulan Mohd Nazrul Mazelan pula sempat ditampan ketua pasukan pelawat, Nasriq Yahya pada minit ke-74.

Nazrul Mazelan sekali lagi hampa apabila percubaannya pada minit ke-76 pula meliar keluar.

Hasil satu gerakan kilat dari sebelah kiri, Mohd Fairizuan menghukum kelalaian Mohd Afham dan Faiz Suhaimi sebelum menggelecek Judtanna Eh Put untuk gol ketiga SSBJ pada minit ke-81.

SSBJ hampir menambah gol melalui Ibrahim Aziz pada minit ke-84 selepas mendapat hantaran lintang cantik dari Syamim Ali namun tandukan pemain ini tersasar walau hanya berhadapan dengan penjaga gol Kelantan.

Tidak berputus asa, pemain muda Kelantan cuba mengatur serangan ke kubu SSBJ namun gagal melepasi pertahanan pelawat yang kental bertahan didalam padang basah.

Malah sepakan mengelirukan jarak jauh Mohd Afham Aziz pada minit ke-86 pula sempat ditepis keluar penjaga gol SSBJ, Mohd Farhan.

Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, SSBJ dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain penyerang mereka dikasari didalam kotak penalti namun mereka gagal menggunakan peluang tersebut untuk menambah gol apabila Judtanna berjaya menepis sepakan Syamim Ali.

Akhirnya wisel ditiup pengadil untuk memberi kemenangan bergaya kepada anak didik Ismail Ibrahim di gelanggang lawan.

Gol

Kelantan 2-3 SSBJ "A"

 

Kad Kuning

Kelantan 2-0 SSBJ "A"

 

Kad Merah

Kelantan 1-0 SSBJ "A"

 

Offside

Kelantan 3-3 SSBJ "A"

 

Posisi Bola (%)

Kelantan 45-55 SSBJ "A"

 

 

 

Sepintas Lalu

Siaran Langsung di Astro sudah menjadi kenyataan apabila syarikat penyiaran swasta tersebut bersetuju  dengan syarat-syarat yang dikemukakan FAM untuk menyiarkan perlawanan terpilih saingan Liga Super pada setiap hari Selasa dan Sabtu.

Gegar FM