Perjuangan Kijang Muda memburu satu tempat ke suku akhir diteruskan apabila membenam cabaran Johor Fc 1-0 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, petang kelmarin.
Satu gol jaringan Mohamad Aris Zaidi pada babak kedua memberi tiga mata penting kepada Kelantan untuk merapatkan jurang dengan pasukan teratas.
Pada babak pertama, tiada gerakan menarik berjaya dicipta kedua-dua pasukan dengan Kelantan melakukan beberapa percubaan bahaya melalui sepakan lemah Aris Zaidi pada minit ke-9 yang diselamatkan pertahanan Johor Fc diatas garisan gol serta dua percubaan Nazrul Mazelan ditampan penjaga gol pelawat, Mohamad Khairul Efsan pada minit ke-41.
Johor FC pula walau menampilkan permainan menarik namun turut gagal memecah kebuntuan setelah satu percubaan Mohamad Efendi terkena palang gol pada minit ke-37 dan sepakan percuma Mohamad Fekry ditumbuk keluar Judtanna selang seminit kemudian.
Bersambung babak kedua, Kelantan memulakan serangan awal dan hampir memecahkan kebuntuan melalui Mohd Zamri Ramli setelah Mohamad Khairul Efsan gagal menangkap kemas sepakan jarak jauh Azrol Ali tetapi Zamri mengsiakan peluang itu dengan hanya menyepak kepada tiang gol.
Johor Fc pula menyaksikan percubaan Mohd Noor Hakiroy pada minit ke-60 terus ke dakapan Judtanna.
Aris Zaidi yang mendapat hantaran leret dari Mohd Izuan Salahudin pada minit ke-71 turut gagal menjaringkan gol apabila penjaga gol Johor Fc lebih bertindak pantas keluar menampan percubaan pemain penyerang Kelantan tersebut.
Akhirnya Aris Zaidi menebus kegagalan awalnya apabila memanfaatkan silap faham pemain pertahanan Johor Fc dengan penjaga gol mereka untuk menanduk masuk bola lontaran kedalam Mohd Faiz Suhaimi pada minit ke-74.
Gol tersebut menyemarakkan semangat pemain Kelantan untuk menambah gol namun hampa akibat kegopohan didepan gawang lawan walau berpeluang menjaringkan gol.
Johor Fc yang tertekan untuk mencari gol penyamaan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Kelantan melalui rangkaian serangan mereka tetapi Mohd hanif Mohd Noor dab Nur Azam kental bertahan.
Ketika memasuki tiga minit masa kecederaan, Kelantan berpeluang menambah dua gol melalui Mohamad Qayyum dan Aris Zaidi tetapi sekali lagi digagalkan dengan kecermerlangan penjaga gol Sang Lebah.
Satu kad kuning dilayangkan pengadil, Ahmad Boestaman Hamid kepada pemain Kelantan, Mohd Zi Zulkeplee pada babak kedua.
Menurut pembantu jurulatih, Hamid Ramli, kemenangan menewaskan Johor Fc telah membuka kembali ruang Kelantan untuk bersaing merebut satu tempat ke suku akhir setelah dikecewakan SSBJ beberapa hari lalu.
Pemain bermain dengan cemerlang, rajin bekerja dalam satu pasukan disamping fokus dengan arahan yang telah diberikan, jelasnya lagi.
Mengulas mengenai rombakan pasukan, Hamid mengakui skuad Kijang telah melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain simpanan kedalam kesebelasan utama dan mereka tampil cemerlang selain mampu memberikan persembahan yang memuaskan walau baru kali pertama bermain dalam perlawanan kompetetif.
Perlawanan seterusnya, Kelantan dijangka menentang Sabah pada awal Mei nanti dan ditanya akan target pasukan selepas ini, Hamid Ramli berharap skuad bimbingannya dapat memenangi kesemua 15 mata yang ditawarkan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.


