You are here: Home

Sang Kijang Pamer Kebangkitan.

E-mail Print PDF

Kelantan mula menunjukkan tanda perubahan untuk bangkit dalam kancah Liga Super musim ini.

Tiga kemenangan berturut-turut dicatatkan Kelantan dengan menewaskan penyandang juara Piala FA. Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan yang terbaru dua hari lalu. KL Plus Fc.

 


Mereka (pemain) mula mendapat rentak selepas terpaksa akur dalam persaingan piala malah memulakan cabaran liga dengan perlahan sehinggakan dikritik hebat peminat sendiri.

 

Sehingga kini, Kelantan memungut 25 mata hasil dari 12 perlawanan dengan menjaringkan 20 gol dan hanya bolos 4 gol. Satu pencapaian yang baik selain memperlihatkan kekuatan Kelantan dalam segenap aspek.

Melihat pada persembahan pada tiga perlawanan terakhir, tidak mustahil sama sekali Sang Kijang mampu mengejar pendahulu, Selangor seterusnya mengungguli takhta Liga Super untuk tahun 2010.

Itu pun jika para pemain tampil dengan konsisten dan sentiasa mencatatkan keputusan baik dalam setiap perlawanan yang akan mereka hadapi.

Selain itu, pujian melambung turut diberikan kepada pengendali pasukan, B. Sathianathan kerana tidak tunduk dengan tekanan peminat malah menjadikan desakan mereka sebagai pendorong untuk memotivasikan pemain agar sentiasa memberikan persembahan terbaik dalam kancah saingan liga.

Menurut Sathianathan, pemain Kelantan mampu menewaskan lawan dengan jaringan besar setelah mencipta banyak peluang cantik namun gagal disudahkan.

Sathianathan juga melahirkan rasa lega akan pemain bintangnya yang semakin menunjukkan keserasian bermain bersama dalam satu pasukan. Dapat dilihat, Akmal Rizal Rakhli mula menunjukkan aksi memikat dan mengancam setelah bangkit dari krisis keyakinan manakala Hairudin Omar pula sudah menemui sentuhan jaringan buat Kelantan.

Sathia turut melahirkan rasa puas hatinya dengan persembahan Kelantan dan berharap mereka dapat meneruskan aksi sebegini dalam baki perlawanan akan datang.

Dalam perlawanan sebelum ini, tempoh rehat panjang yang diperoleh Kelantan digunakan dengan berkesan untuk menajamkan penyudah dengan hasilnya sembilan gol dari tiga perlawanan.

Perlawanan akan datang Kelantan menanti kunjungan Tok Gajah di Kota Bharu sebelum bertandang ke Kuantan untuk perlawanan timbal balik pusingan kedua Liga Super.

Kedudukan Liga Super setakat ini, Selangor mendahului carta dengan 29 mata, tiga mata mengatasi Terengganu dengan Kelantan mengekori rapat ketinggalan satu mata kepada Penyu. Tempat keempat dan kelima diisi Johor FC dan Negeri Sembilan dengan masing-masing memungut 25 dan 20 mata.

 

 

Sepintas Lalu

Siaran Langsung di Astro sudah menjadi kenyataan apabila syarikat penyiaran swasta tersebut bersetuju  dengan syarat-syarat yang dikemukakan FAM untuk menyiarkan perlawanan terpilih saingan Liga Super pada setiap hari Selasa dan Sabtu.

Gegar FM